Friday, February 27, 2009

' DULU MASA JADI MENTERI TAK PERNAH BAYAR TOL... TAK PERNAH MERASA '

"Dulu masa jadi menteri tak pernah bayar tol..tak pernah merasa" Demikian dinyatakan sendiri Ahli Parlimen Padang Besar Dato' Seri Azmi Khalid ketika diminta mengulas berhubung kenaikan tol mulai 1 Mac yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Mohd Zin Mohamed semalam.

Kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Lebuh Raya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya yang dipetik daripada akhbar online.

Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kirakira Wang Negara, berkata beliau faham bahawa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.

"Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat, " katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

"Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.

Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini. - azm

Di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), kadar tol di plaza tol Pantai naik setinggi 33 peratus iaitu 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 manakala di Plaza tol Damansara pula naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Kadar tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12) juga dinaikkan sehingga 33 peratus iaitu sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2.

Dalam satu kenyataan Mohamad Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Kenaikan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya lain ialah:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Penggunaan ALLAH bukan satu larangan

MASYA'ALLAH.. Apa nk jadi dengan MALAYSIAKU

27/02/2009 3:08pm

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan kata-kata Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.

Ini berikutan perintah yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri yang membenarkan perkara tersebut mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perintah itu dikeluarkan pada 21 Januari lalu dan telah digazetkan pada 16 Februari tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan semasa sebutan kes semakan kehakiman berhubung larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan Herald The Catolic Weekly. - Utusan

di petik dari : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

Thursday, February 26, 2009

SPRM PERLU SIASAT PENGERUSI PERHUBUNGAN UMN* PERAK

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu profesional. Mungkinkah peringatan Perdana Menteri itu menggambarkan badan tersebut belum mampu keluar dari dimensi lama.

Pertukaran nama baru daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR), belum memadai apabila banyak kes yang dilaporkan Pakatan Rakyat seperti disenyapkan.

Sebaliknya pantas sekali bertindak kalau melibatkan aduan daripada pemimpin Umno.

Buktinya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar terus disiasat SPRM setelah menerima laporan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Seri Ahmad Said Hamdan membuat kenyataan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak dan enam anggota Exco daripada menghadiri persidangan Dun.

Mengulas perkembangan tersebut Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan mengapa SPRM tidak menyiasat orang yang dikatakan menjadi punca kepada tiga Adun Pakatan Rakyat di Perak berpaling tadah.

"Sepatutnya yang bertanggungjawab mencetus isu tersebut dan membawa tiga Adun terbabit ke Istana Perak perlu disiasat SPRM kerana segala masalah yang berlaku sekarang berpunca dari situ.

"Kita belum mendengar ada maklumat badan tersebut menyiasat Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang baru dilantik, kerana difahamkan dia ada hubungan dengan tiga Adun tersebut hilang dan muncul di Putrajaya.

"Hilang ke mana.. tentunya ada hubung kait pemimpin tertentu. Jadi kita persoalkan kenapa tidak disiasat pihak terbabit, kalau benar-benar mahu lebih profesional," katanya ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, semalam.

Beliau berkata, SPRM seolah-olah berfungsi menyiasat kes tertentu sahaja dan pembaharuan yang dilakukan sekarang tidak memperlihatkan badan itu benar-benar telus.

"Selama tidak ada sifat taqwa pada pengerusi dan jawatankuasanya, mereka tidak akan melakukan siasatan ke atas pemimpin negara. Yang disiasat hanya anak-anak bilis.

Habiskan duit rakyat

"Oleh itu, tubuh apa jenis badan sama ada polis atau badan pencegah rasuah, ia menjadi kerja sia-sia kalau dilihat terhadap apa yang berlaku sekarang. Habis masa dan wang rakyat," katanya.

Sebelum ini tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak, Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) hilang dan tiba-tiba muncul bersama Dato' Seri Najib Razak di Putrajaya.

"Tindakan itu tidak sah, tindakan yang tidak membawa ke syurga, bahkan tindakan yang boleh membawa ke neraka," kata Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya tindakan pemimpin yang menjatuhkan kerajaan di luar normal biasa jelas tidak ada dalam diari perjuangan Islam.

Beliau juga mempersoalkan adakah kerana Dato' Seri Nizar Jamaluddin melakukan kesalahan rasuah sehingga Pengerusi Perhubungan Umno Perak bertindak merampas kerajaan negeri dengan cara tidak halal.

"Yang menjadi persoalannya kenapa Pengerusi Umno bertindak demikian. Adakah Nizar melanggar peraturan Kerajaan atau menyalahgunakan kuasa hingga menyebabkan berlakunya rampasan kuasa di Perak.

"Jika tidak demikian bermakna tindakan dilakukan pihak berkenaan berasaskan semata-mata nafsu. Memuja nafsu dan bertindak seperti gengster," katanya.

Menurutnya segala yang berlaku kerana Umno membuang sifat taqwa kepada Allah menyerlahkan lagi amalan mereka memisahkan agama dan politik.

Beliau berkata, berdasar kepada tindak tanduk Umno itu membuat rakyat terutamanya golongan cerdik pandai semakin menjauhi parti tersebut.

Tindak tanduk Umno seperti gengstar

"Apabila Umno mencetuskan banyak isu, semakin dibenci golongan intelek,� katanya.

Malah katanya, orang muda sekarang melihat pemimpin Umno semacam terkena allergic.

"Seorang bekas mufti mengatakan Umno sekarang sudah menjadi allergic dan saya pula anggap macam penyakit berjangkit yang mesti dijauhi orang ramai,� katanya.

Beliau juga berkata, sekiranya seseorang pemimpin itu mendapat kedudukan tinggi kerana amalan rasuah yang diamalkan, mereka tidak layak hidup di muka bumi ini," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan Umno sekarang berada dalam kolam najis kerana amalan rasuah sudah sebati dengan pemimpin parti itu.

"Mana rakyat boleh menerima pemimpin sebegitu," katanya. - mj _

Tuesday, February 24, 2009

PAS ADA BAI'AH ELAK LOMPAT PARTI

KEPALA BATAS, 23 Feb (Hrkh) - "Baiah merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah s.w.t dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon dalam setiap pilihan raya sama ada umum atau kecil."

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, PAS nyata mempunyai rahsia tersendiri untuk menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada mengambil sikap melompat parti kerana tindakan itu bukan sahaja membelakangkan kehendak Allah s.w.t bahkan meninggalkan amanah manusia yang mahu seseorang Adun itu melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Katanya rahsia tersebut ialah 'Baiah' yang merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah s.w.t dan kepimpinan dalam parti berbanding parti lain ketika dilantik menjadi calon dalam setiap pilihanraya samada umum atau kecil.

"Perbezaan kekuatan Adun-adun PAS ialah 'Baiah' berjanji dengan Allah s.w.t sekiranya kami menipu, khianat, menyeleweng kami akan dilaknat oleh Allah.s.wt, oleh malaikat dan segala yang melaknat.

"Itulah yang tiada dalam parti lain kerana masing-masing mengambil agama suku, politik suku, " ujarnya ketika berceramah di pekarangan Markaz Tarbiyah PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terenganu memberitahu, walaupun ada Adun atau kepimpinan yang melompat keluar parti, semua pihak boleh melihat di mana 'kedudukan' mereka tika ini.

ImageSambungnya, golongan terbabit kehilangan maruah dan kehebatan bahkan jika berada dalam parti lain hanya sekadar melukut di tepi gantang bukan lagi diberikan kepercayaan sebagai kepimpinan sepertimana dalam PAS sebelum ini.

"Kita tengok mereka yang lari dari PAS apa yang mereka perolehi sebagai hukuman di dunia.

"Mereka hilang maruah, hilang kehebatan dan tidak ke mana walhal golongan terbabit mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Itulah perhitungan antara dosa dan pahala, " tegasnya.

Justeru itu, PAS tetap berusaha mengajak parti lain untuk bersama PAS memperjuangkan kedaulatan demi menjaga maruah yang tinggi tidak kerana pandangan manusia sebaliknya kerana Allah s.w.t.

PAS katanya, tidak memaksa parti lain terutamanya bukan Islam menerima Islam semata-mata menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah menyelewengan amanah rakyat dengan melakukan berbagai kekejaman dan kezaliman.

Menyentuh mengenai peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalanya, Dato' Seri Najib Razak sepatutnya belum lagi waktunya kerana Perdana Menteri tidak lagi 'selesai' dengan amanahnya terhadap rakyat sebagaimana janjinya sewaktu mula memegang tampuk pemerintahan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa tahun lalu.

Janji Abdullah katanya untuk menyelesaikan masalah kehakiman, rasuah, polis, SPR dan pekerti kalangan kepimpinan Umno masih jauh. "Beliau seharusnya berusaha untuk tanganinya sehingga selesai bukan memberi jalan berundur kepada orang lain yang pastinya mempunyai agenda lain dalam pentadbiran baru kelak.

"Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman, Suruhanjaya Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah tidak setakat itu sahaja malahan kena bersama parti lain di luar BN kerana ia bukan masalah Umno. Ia masalah semua rakyat dan ia perlu dengan sistem demokrasi yang betul, " Kata Ahli Parlimen Marang itu.

Beliau berucap di dalam program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang itu lagi.Turut berceramah pada malam itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hafiz Nordin dan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang turur dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man.

Friday, February 20, 2009

DERHAKA : UMN* ADA SEJARAHNYA

KUALA LUMPUR, 20 Feb - Para pemimpin Umno-BN dan para penyokong fanatiknya mendakwa para pemimpin serta para penyokong Pakatan Rakyat (PR) menghina Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kerana enggan menerima pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru pada 4 Februari lalu.

Apatah lagi, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh Sultan Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mahu menyaman Sultan Azlan Shah (walaupun tidak dipersetujui pemimpin PR yang lain) dan BN.

Ekoran itu, demonstrasi demi demonstrasi diadakan oleh Umno-BN dan penyokongnya di seluruh negara dengan pelbagai sepanduk mengecam Nizar dan Karpal. Karpal sendiri menghadapi 84 laporan polis terhadapnya. Beliau segera dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.

Cepat sungguh Polis Diraja Malaysia bertindak atas laporan polis terhadap pemimpin pembangkang sebaliknya para pemimpin BN yang memang 'penjenayah' dan 'perompak' harta rakyat, laporan polis itu entah ke mana lesapnya!

Sikap hipokrit dan 'double-standard' Umno terserlah apabila mereka turut turun ke jalan raya berdemonstrasi membantah ketegasan pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu di Perak walaupun mereka juga yang mengatakan demonstrasi bukan budaya kita.

Nampaknya, jika dilakukan oleh mereka, demonstrasi jalanan tersebut tidak menjadi satu kesalahan. Karpal sendiri mempertikaikan perkara ini. Katanya, demonstrasi Pakatan Rakyat dihalang, tetapi demonstrasi Umno-BN dibenarkan walaupun tanpa permit.

Menantu kesayangan Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin juga kini mahu menjadi jaguh dengan mengecam Nizar dan Karpal dalam demonstrasi jalanan yang ditajanya. Beliau turut meminta penderhaka dihalau dari bumi Perak.

Nampaknya, Khairy mudah lupa kerana dahulu beliau juga yang menganggap para demonstrator jalanan adalah monyet. Tetapi, sekarang kerana mempertahankan kerajaan haram di Perak, beliau sanggup menjadi monyet.

Semua orang tahu ini hanyalah sandiwara Khairy sahaja untuk meraih sokongan dalam pertandingan memilih Ketua Pemuda Umno dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac nanti.

Demonstrasi bukan budaya kita. Bagaimanapun, ia menjadi budaya murni dan halal jika menyokong kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN!

Bandingkan dengan demonstrasi di Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu. Tiada satu pun kain rentang oleh penunjuk perasaan berbunyi kasar serta menghina Sultan Perak dan Raja Muda.

Apa yang terpampang hanyalah ayat "Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan DUN Perak" dan "Menuntut Bubarkan DUN, Kembalikan Kuasa Rakyat".

Nizar menderhaka? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Azlan. Tetapi, tidak menggunakan perkataan tidak bersetuju. Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan "Sembah patik sembah derhaka."

Bukannya beliau menderhaka seperti yang ditafsirkan oleh akhbar arus perdana kroni kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. "Sembah derhaka" itu telah dijadikan isu, sedangkan selama ini pemimpin Umno yang kerap menderhaka kepada Sultan. Kepada Allah SWT pun mereka menderhaka, apatah lagi kepada Sultan yang juga manusia ciptaan Allah.

Nizar enggan meletakkan jawatan kerana jawatan dan kerajaan pimpinannya dirampas secara tidak bertamadun oleh pemimpin kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. Beliau dan kerajaan tidak dikalahkan, tetapi dinafikan secara haram menerusi rampasan kuasa yang sebenarnya memalukan Umno-BN.

Mana mungkin seorang yang bermaruah dan dipilih oleh rakyat mahu tunduk pada perbuatan tidak bermaruah dan penuh kehinaan? Siapa sahaja yang bermaruah akan mempertahankan diri jika dianiayai.

Berkaitan dengan isu di Perak ini, Umno-BN cuba menggambarkan imej buruk Pakatan Rakyat, iaitu tidak mendengar titah raja. Sejak bila pula Umno-BN begitu taat setia kepada raja dan menjadi pembela berani mati?

Umno biadap pada Raja-raja Melayu

Ingin ditanya, siapakah yang terlebih dahulu derhaka kepada raja? Kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN sudah lupa siapa yang menentang dan menghina Sultan Terengganu (yang juga Yang di-Pertuan Agong) dalam pemilihan Dato� Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu pada bulan Mac tahun lalu?

Cepatnya Umno-BN lupa pada demonstrasi oleh penentang pelantikan Ahmad itu? Ia adalah atas arahan Abdullah sendiri. Sehingga kini, langsung tiada siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.

Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar.

Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku.

Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ketegangan itu adalah seperti 'Kami Nak Idris, Natang' (binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.

Perkataan 'Natang' itu adalah dialek Terengganu yang bermaksud 'Binatang'. Ia ditujukan kepada siapa? Adakah kepada pihak Istana Terengganu atau Raja-raja Melayu yang menjadi sasaran emosi pemimpin serta penyokong tegar Umno/BN Terengganu? Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat Ahmad Said yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal.

Umno Terengganu yang diketuai Idris dan Rosol Wahid memprotes secara terang-terangan watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui MPPR. Sehingga kini, Abdullah tidak dibicarakan, apatah lagi dijatuhi hukuman setimpal. Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia sudah menyedari bahawa Umno-BN yang sebenarnya adalah 'penderhaka' bertopengkan agenda perjuangan orang Melayu.

Annuar Musa (sekarang Tan Sri) sudah lupa atau berpura-pura lupa bahawa pada tahun 1993 beliau sanggup berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon janggus sebagai Sultan Kelantan, sedangkan Sultan sebenar masih ada.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Mohd Taib (juga sekarang Tan Sri) ketika menjadi Menteri Besar Selangor juga lupa beliau pernah melarikan puteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin, yang lebih dikenali sebagai Ku Yah.

Lupakah bahawa Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.

Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan, malah buat kali pertama selepas kemerdekaan, pemimpin kerajaan yang dikuasai Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum anjuran Umno itu telah menyebabkan raja dipandang hina oleh masyarakat awam.

Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah.Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.

Seterusnya, pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.

Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.

Jadi, sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983. Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar membantah keras rampasan kuasa di Perak ini walaupun tidak hairan jika ada rasuah RM50 juta untuk membeli ADUN PR kerana rasuah memang sudah menjadi amalan pemimpin Umno/BN.

Oleh kerana Umno-BN merampas kuasa secara yang disifatkan oleh pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai 'rompakan di siang hari yang terang-benderang', Mahfuz tegas mengatakan ada dua buah kerajaan haram di dunia sekarang. Pertama, katanya, kerajaan haram laknatullah Israel dan kedua, kerajaan haram BN di Perak.

Adun 'lompat' tidak berani pulang ke kawasan

Oleh kerana berkuasa secara haram, menurut Setiausaha Politik Nizar, Misbahul Munir Masduki, maka Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak berani menjenguk kawasan masing-masing.

"Bagaimana mereka boleh berkata mahu berkhidmat kepada pengundi sedangkan langsung tidak berani pulang ke kawasan masing-masing? Mereka tahu mereka telah mengkhianati pengundi,"tambah Misbahul.

'Sebab itulah mereka takut untuk menjenguk kawasan. Para pengundi mereka juga sedang menunggu dengan kasut,' jelas beliau secara berseloroh dalam satu ceramah di Kuala Lumpur baharu-baharu ini.

Tambah beliau, jika hasrat mengadakan pilihan raya semula dan tandatangan referendum rakyat Perak gagal, krisis yang berlaku diharap akan berterusan sehingga tiga kerusi Dun terbabit dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan.

Dilaporkan bahawa Speaker Dun Perak, V Sivakumar enggan menerima Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dan enam orang Exco baharu kerana pelantikan mereka tidak mengikut Perlembagaan. Dalam perkataan lain, mereka adalah pemimpin kerajaan haram!

Namun, sikap 'double-standard' serta tidak tahu malu pemimpin Umno terserlah apabila Dr Zambry membantah tindakan Sivakumar itu. Katanya, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Dun terlebih dahulu.

Tahu pula mahu membawa ke mesyuarat Dun. Semasa mahu merampas Perak pada 4 Februari lalu, tidak pula mahu menunggu mesyuarat DUN untuk mendapat undi tidak percaya terhadap Nizar. Inilah sikap Umno yang tidak bertamadun seperti lanun!

Walaupun akhirnya bersetuju keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar dan menyerahkan semula kenderaan rasmi, Nizar dan barisan Exconya akan menjelajah seluruh negeri Perak (setiap Dun) untuk memberi penjelasan.

Menurut Misbahul lagi, Sultan Azlan dikhabarkan berdukacita atas kemarahan rakyat baginda. Sepatutnya baginda bergembira ketika menyambut perayaan Jubli Perak memerintah negeri Perak. - azm_

Wednesday, February 18, 2009

GAMBAR ELI SOAL KECIL..ADA KES YANG LEBIH BESAR DI SEBALIKNYA

Isu Ahli Dewan Undangan Negeri PKR kawasan Bukit Lanjan Selangor Elizabeth Wong tidak terhenti setakat penyebaran gambar bogelnya yang didakwa diambil secara curi.

Tidak ada siapapun yang waras fikiran merestui perbuatan rakam curi yang ikut istilah Wong ‘menceroboh privasinya’.

Apa yang Agendadaily dengar menjadi soksek di kalangan ahli-ahli PKR sendiri ialah pimpinan parti itu khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah cukup berserabut memikirkan bagaimana nak tangani isu Wong tanpa melondeh pekong yang bakal nak ‘meletup’.

Buat sementara mereka boleh halakan senapang ke arah sandiwara tuduhan biasa ia tindak tanduk jahat Barisan Nasional nak jatuhkan wakil rakyat Barisan Pembangkang.

Namun tidak berapa lama lagi orangramai akan mula sedar apa isu sebenarnya di sini. Ia bukan sekadar gambar tetapi lebih melibatkan soal moral seorang pemimpin dan wakil rakyat PKR.

Wong bukan beragama Islam maka tidak hairanlah seperti yang dikatanya dengan tegas dalam sidang akhbarnya di ibupejabat PKR pagi Selasa beliau tidak merasa ada buat apa-apa yang salah dan tidak malu dengan seksualitinya sebagai wanita bujang.

Sebab itu soal adanya lelaki dalam rumahnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya yang didakwa ambil gambarnya itu bukan jadi isu baginya.

Yang jadi isu baginya ialah gambar yang dirakam curi itu saja yang jejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat.

Apa yang pasti Wong yang berstatus wanita bujang berusia 37 tahun itu kenal baik atau intim sekali dengan lelaki yang berada dalam rumahnya itu.Jika tidak mana mungkin lelaki itu boleh berada di dalam rumahnya apa lagi ketika dia sedang tidor di atas sofa.

Namun apa yang cuba ditutup dan jadi perkara yang amat dibimbangi oleh para pemimpin PKR sekarang takut-takut ia ‘meletup” dan menjejaskan imej parti ialah teman lelaki Wong dikatakan seorang Pemuda Melayu Islam.

Lebih membingung mereka lagi ialah teman lelaki itu dikatakan ahli PKR sendiri dan berkhidmat sebagai pembantu kepada seorang ahli parlimen PKR di Selangor.

Kalau betul bagai dikata ini sudah jadi kes bersekedudukan antara seorang wanita bukan Islam dengan lelaki Islam sama-sama ahli PKR.

Jadi bagaimana mereka nak rasionalkan hal ini di kaca mata orangramai dan para penyokong khususnya yang beragama Islam.

Cuba bayangkan bagaimana rakan parti itu dalam Barisan Pembangkang khususnya PAS nak turut sama mempertahankan Wong apabila kelak tahu ia melibatkan kes bersekedudukan dengan seorang lelaki Islam ahli PKR.

Ketika mereka cuba mendakwa BN tidak bermoral cuba menjatuhkan wakil rakyat mereka rupa-rupanya insan yang mereka cuba lindungi itu sendiri tidak bermoral dari kaca mata orang Islam.

Sungguh anih sidang akhbar Wong tidak ada sesi soal jawab.Kenapa beliau takut nak bersoal jawab dengan para wartawan.

Beliau juga mengelak untuk bercakap lebih mengenai identiti teman lelakinya.

Apakah ini kerana takut para wartawan korek perihal teman lelakinya itu seorang pemuda Melayu beragama Islam.

Anwar sendiri mengelak ketika ditanya wartawan dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen petang Selasa adakah kemungkinan gambar Wong yang berbogel itu dirakam oleh ahli PKR dan mereka yang rapat dengan wanita itu,

Bayangkan ini jawapan Anwar ,”Saya tak tahu, saya tak mahu campur, sesiapa yang ambil kerja ni kerja jahat, siapa yang edar kerja ni kerja yang aibkan orang..jadi saya tak tahu,”.

Mana mungkin Anwar tidak tahu siapa teman lelaki Wong kerana Penasihat PKR itu sendiri kata beliau dan isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail sudah menemui ADUN Bukit Lanjan itu untuk mendengar penjelasannya.

Untuk mengelak lagi beliau sekadar menjawab,"Kita dengar penjelasan beliau dan berasa simpati terhadap apa yang beliau tanggung berhubung usaha untuk menyerang peribadinya yang sangat jahat.”

Soal yang semua orang nak tahu siapa sang penjahat yang ambil gambar curi Wong .Itu Anwar belum cakap secara pasti kecuali main sandiwaranya menuduh BN.

Satu sumber yang rapat dengan pimpinan PKR memberitahu Agendadaily sebenarnya ada kalangan pimpinan PKR sudah lama tahu teman lelaki Wong itu ada simpan sesuatu “pasal Wong” dan telah cuba memujuknya agar tidak bertindak menyebarnya.

Sumber itu mengakui insiden penyebaran gambar itu lebih berpunca dari pertelingkahan peribadi antara seorang lelaki dan seorang wanita yang ' ada hal' .

Ditanya mengapa BN pula yang dituduh sedangkan pekong itu sukar nak ditutup,sumber itu hanya tersenyum sambil selamba berkata, “ biasalah tu.”

di petik dari : http://www.agendadaily.com cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a

DS Ir. NIZAR TELAH MELAKUKAN YANG TERBAIK BUAT PAS,RAKYAT DAN NEGERI PERAK

Dua malam saya menziarahi kediaman rasmi Menteri Besar Perak, hati saya cukup tersentuh dengan perwatakan penuh kesederhanaan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Hati kecil saya berbisik, inilah pemimpin masa depan yang amat kita tunggu-tunggu.

Sayang, dengan pengalaman hanya selama 11 bulan menerajui kerajaan negeri Perak, Nizar diuji Allah dengan bebanan yang cukup berat, yang mungkin tidak tertanggung oleh individu lain dalam PAS.

Namun, apabila mendengar ucapannya, Nizar masih tetap bersemangat waja, bijak menyusun ayat, mencari istilah dan membangkitkan aura. Saya agak terkilan tidak sempat mengikuti dari dekat bagaimana Nizar mengemudi bahtera kerajaan Perak selama 11 bulan itu. Saya amat yakin, sejauh ini, beliau telah melakukan yang terbaik untuk PAS, rakyat dan negeri Perak.

Bukan sedikit tohmahan yang dihadapkan kepadanya selama memerintah, tetapi beliau tetap gagah berdiri bukan untuk membalas balik serangan kepadanya namun membuktikan dengan amalan praktis.

Sesungguhnya tidak mudah untuk menerajui Perak dengan segala kerencamannya itu. Malah cukup sukar sekali buatnya yang agak baru dalam politik untuk berdepan segala mehnah dan cabaran, bersama-sama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bagi memenuhi janji manifesto dan membumikan segala tawaran yang tentunya jauh lebih baik berbanding pemerintahan Umno-BN selama 50 tahun itu.

Saya percaya dugaannya pasti lebih hebat sekarang. Bagaimanapun saya tidak pasti bagaimana kehidupan seharian Nizar kini. Apakah beliau terus mendapat sokongan padu atau ada yang perlahan-lahan meminggirkan diri, termasuk rakan dan taulan? Saya tidak mahu membayangkan hal-hal negatif tentang suasana yang dihadapinya sebab saya yakin Nizar mampu meredah segala belantara kepayahan dan kesukaran ini.

Dari wajahnya terpapar satu semangat luar biasa. Saya juga yakin hubungannya dengan Allah makin dekat dan dekat. Dari jauh saya hanya mampu berdoa agar Nizar dapat menangani tribulasi berat yang bukan sahaja menimpa dirinya tetapi juga jamaah PAS itu sendiri._

di petik dari : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019423&Itemid=46

TINGKAT EMPAT

By Dr. Mahathir Mohamad
on February 16, 2009 7:34 PM

1. Terdapat kegelisahan di Tingkat Empat. Selama lima tahun lebih, Tingkat Empat kadang-kadang lebih berkuasa daripada Kabinet atau Majlis Tertinggi UMNO. Mereka dapat tentukan dasar dan tindakan Kerajaan. Menteri-menteri kerap meminta pertolongan mereka dan pegawai tinggi Kerajaan merujuk kepada mereka sebelum membuat keputusan. Kontraktor melobi dengan mereka untuk mendapat kontrak dan pelabur juga mengguna khidmat mereka untuk mendapat kelulusan.

2. Dalam semua ini terdapat banyak peluang untuk memperkayakan diri.

3. Sesungguhnya tidak ada yang lebih memuaskan nafsu daripada kuasa tanpa tanggungjawab.

4. Malangnya, jika benarlah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan pada bulan Mac maka segala-gala kuasa ini akan hilang. Ini adalah satu malapetaka bagi Tingkat Empat. Apakah nasib mereka selepas Mac? Apakah mereka akan berdiam diri dan membenar malapetaka ini timpa mereka dengan begitu sahaja? Tidak adakah sesuatu yang boleh dilakukan oleh mereka untuk menangkis musibah ini?

5. Seperti biasa, terdapat banyak berita angin akan perancangan mereka. Jika boleh, mereka akan halang peralihan kuasa, sekurang-kurangnya buat sekian lama.

6. Kata berita angin mereka sedang menasihat Dato Seri Abdullah supaya tidak letak jawatan apabila sahaja Dato Seri Najib Razak jadi Presiden parti. Kata mereka tidak semestinya Presiden parti jadi Perdana Menteri. Ini bukan syarat dalam perlembagaan negara. Ia hanya amalan parti tanpa peruntukan tertulis. Yang menentu segala-galanya ialah Perdana Menteri. Jikalau Perdana Menteri tidak letak jawatan itu haknya, sepertimana memilih menteri atau timbalan perdana menteri adalah haknya. Biasa terjadi yang dipilih menjadi Timbalan Perdana Menteri bukan Timbalan Presiden UMNO.

7. Apakah Najib akan memberontak? Tidak. Jika ia ternampak akan memberontak ada cara untuk melawannya. Jika dapat dicetuskan keadaan tertentu, seperti rusuhan atau huru-hara, ini boleh dijadikan alasan untuk Dato Seri Abdullah tidak letak jawatan. Ramai ahli UMNO dan ahli Majlis Tertinggi pasti akan sokong Dato Seri Abdullah. Mereka semua terhutang bukan sahaja budi kepadanya.

8. Mungkin ada antara ahli UMNO yang menentang kuat dan bercadang untuk mengadakan undi tidak percaya dalam parti atau dalam Parlimen. UMNO boleh ditangani melalui cara biasa. Jika terpaksa hilang berjuta pun tak mengapa kerana kuasa Tingkat Empat boleh menampung dengan punca-punca yang sudah ada. Apa gunanya wang jika kuasa untuk mendapatnya sudah hilang?

9. Jika ahli Parlimen pula bercadang untuk mengadakan undi tidak percaya dalam Parlimen, ini tidak mungkin berjaya. Sebahagian daripada ahli Parlimen BN mungkin tidak akan sokong tindakan ini. Ahli parti lawan memang hendak Dato Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri. Mereka telah pun menyatakan sokongan mereka. Hadi Awang, Karpal Singh dan Anwar Ibrahim telah menyatakannya secara terbuka.

10. Dengan sokongan ahli parti lawan kepada Dato Seri Abdullah, sukar bagi BN mendapat cukup bilangan untuk meluluskan undi tidak percaya.

11. Jika undi tidak percaya dalam Parlimen tidak berjaya, Abdullah akan jadi PM yang amat lemah, kerana memerlukan sokongan parti lawan untuk meluluskan sebarang undang-undang yang dibawa ke dewan rakyat.

12. Kita sudah lihat bagaimana kelemahan Kerajaan pimpinan Abdullah telah memberanikan semua pihak untuk membangkitkan berbagai kontroversi yang mengugat kestabilan Negara. Keadaan Negara akan hampir kepada tahap tidak ada Kerajaan dan tidak ada undang-undang apabila Kerajaan Abdullah menjadi lebih lemah.

13. Di masa yang sama Negara akan hadapi krisis kewangan dan ekonomi yang lebih teruk dari 1997-1998. Pentadbiran yang lemah tidak mungkin tangani kemerosotan ekonomi yang jauh lebih teruk dari 1997-98. Rakyat akan menderita kerana peningkatan pengangguran dan bankrap. Jenayah akan bertambah dan keselamatan negara akan tergugat.

14. Bagi Tingkat Empat huru-hara dalam Negara tidak mengapa asalkan mereka dapat kekal sebagai kuasa dibelakang Perdana Menteri.

15. Mungkin cerita-cerita berkenaan usaha Tingkat Empat untuk mengekalkan Abdullah sebagai Perdana Menteri selepas Najib jadi Presiden UMNO hanya rekaan orang-orang tertentu, wallahuwaalam. Demikian jugalah dengan Labu. Si-Luncai pun terjun dengan segala-galanya.